Praktis Sumatif 9 (Soalan 10) – Biologi Tingkatan 4 (KSSM) Bab 9


Soalan 10:
Pada masa kini, makanan siap saji atau sejuk beku menjadi pilihan ramai individu disebabkan gaya hidup yang sibuk dan sentiasa kesuntukan masa. Ramalkan kemungkinan risiko kesihatan yang timbul sekiranya jenis makanan ini diambil secara berterusan dan dalam kuantiti yang banyak.


Jawapan:
Bahan-bahan dalam makanan siap saji atau sejuk beku lazimnya mengandungi banyak lemak, garam, gula dan bahan kimia yang telah diproses.

• Kebanyakan lemak yang terkandung dalam makanan siap saji atau sejuk beku adalah lemak trans. Lemak trans ialah lemak yang biasanya wujud dalam bentuk cecair diubah suai menjadi pepejal. Lemak trans membuatkan makanan siap saji tahan lebih lama. Namun begitu, lemak trans boleh meningkatkan paras kolesterol ‘buruk’ (LDL) dan mengurangkan paras kolesterol ‘baik’ (HDL). Ini meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung dan menyebabkan penyumbatan arteri. Sesetengah makanan siap saji mengandungi daging merah dan keju yang semulajadinya terdiri daripada lemak tepu, boleh mengakibatkan peningkatan kolesterol ‘buruk’.


• Garam biasanya digunakan sebagai bahan penambah perisa dan juga sebagai pengawet. Hidangan makanan siap saji mengandungi lebih banyak garam daripada yang diperlukan oleh badan kita untuk sehari. Ini boleh mengakibatkan peningkatan paras kolesterol, dan juga meningkatkan tekanan darah. Kandungan garam yang tinggi dalam makanan juga dikaitkan dengan penyakit ginjal.


• Kanji atau gula kompleks digunakan dalam makanan siap saji untuk menambah perisa dan tekstur. Badan akan menguraikan kanji kepada gula dalam bentuk glukosa semasa pencernaan. Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan isu kesihatan yang serius dan dikaitkan dengan peningkatan risiko mendapat penyakit diabetes, penyakit jantung dan obesiti. Gula berlebihan juga dikaitkan dengan kemurungan.


• Bahan kimia ditambahkan kepada makanan siap saji atau sejuk beku untuk menjadikannya tahan lama dan menambah perisa. Akan tetapi, kandungan bahan kimia yang tinggi adalah toksik kepada badan. Contohnya, monosodium glutamat (MSG) dikaitkan dengan pening, rasa mual, sakit dada, kelesuan dan juga kesukaran untuk bernafas.


• Sodium nitrat dan pewarna tiruan yang berfungsi untuk membuatkan makanan siap saji kelihatan segar dan menarik telah dikaitkan dengan pelbagai jenis kanser. Sesetengah bahan pengawet didapati merupakan bahan karsinogen (penyebab kanser).

• Selain itu, bahan penambah kepadatan makanan siap saji seperti selulosa dan kalium bromat boleh mengganggu sistem penyerapan nutrien dalam badan. Ini menyumbang kepada pelbagai masalah sistem pencernaan.

Leave a Comment