Praktis Sumatif 8 (Soalan 5 & 6) – Biologi Tingkatan 5 (KSSM) Bab 8


Soalan 5:
Bagaimanakah nitrogen di atmosfera dapat menjadi sebahagian daripada tisu haiwan dan tumbuhan dan kemudiannya kembali semula menjadi nitrogen di atmosfera? Huraikan.

Jawapan:
• Tumbuhan dan haiwan memerlukan unsur nitrogen untuk membina protein. Namun, kedua-dua tumbuhan dan haiwan tidak dapat menggunakan gas nitrogen di dalam atmosfera secara langsung.

• Bakteria pengikat nitrogen yang hidup di dalam nodul akar tumbuhan legum seperti Rhizobium sp. serta bakteria pengikat nitrogen yang hidup bebas di dalam tanah seperti Azotobacter sp. mengikat nitrogen daripada atmosfera dan menukarkannya kepada ion ammonium (NH4+) melalui proses pengikatan nitrogen.


• Kilat semasa ribut petir mengoksidakan nitrogen kepada nitrogen dioksida (NO2) yang kemudiannya larut di dalam air hujan untuk membentuk asid nitrus dan asid nitrik. Kedua-duanya akan membentuk garam nitrat di dalam tanah.

• Industri pembuatan baja bernitrogen akan membekalkan baja ammonium dan nitrat ke dalam tanah.

• Apabila tumbuhan dan haiwan mati, pereputan dijalankan oleh mikroorganisma pengurai seperti bakteria dan kulat saprofit. Sebatian protein di dalam tisu badan akan diuraikan menjadi ion ammonium (NH4+) melalui proses ammonifikasi.


• Ion ammonium ditukarkan kepada ion nitrit (NO2) melalui proses nitrifikasi oleh bakteria nitrifikasi, iaitu Nitrosomonas sp.

• Ion nitrit ditukarkan kepada ion nitrat (NO3) oleh bakteria nitrifikasi, iaitu Nitrobacter sp.

• Nitrat diserap oleh akar tumbuhan dan digunakan untuk sintesis protein. Tumbuhan tersebut kemudiannya dimakan oleh haiwan dan sebatian nitrogen dipindahkan ke dalam tisu haiwan.

• Bakteria pendenitritan menukarkan nitrat di dalam tanah kepada gas nitrogen melalui proses pendenitritan.

Soalan 6:
Anda ditugaskan untuk membuat pengelasan organisma di kawasan taman herba di sekolah anda. Huraikan kaedah yang boleh digunakan.

Jawapan:
• Satu cara untuk membuat pengelasan bagi organisma yang dikumpul di sekitar taman herba sekolah adalah dengan menggunakan kekunci dikotomi.

• Kekunci dikotomi ialah kekunci pengenalan yang terdiri daripada satu urutan pasangan ciri bertentangan.


• Langkah-langkah yang perlu dijalankan adalah seperti berikut:

– Periksa ciri-ciri fizikal utama kumpulan organisma yang dikumpul yang dapat membahagikan organisma tersebut kepada dua kumpulan.

– Dalam setiap kumpulan, cari satu atau lebih ciri yang dapat membahagikannya kepada dua kumpulan lagi.

– Langkah ini diteruskan sehingga setiap kumpulan mengandungi satu organisma.

– Ciri yang digunakan mestilah jelas dan mudah dikesan.

– Pengelasan kepada dua kumpulan perlu menggunakan ciri bertentangan.

– Istilah yang digunakan perlu jelas maksudnya.

Leave a Comment