Praktis Sumatif 13 (Soalan 11 – 14) – Biologi Tingkatan 4 (KSSM) Bab 13


Soalan 11:
(a)(i) Terangkan kepentingan mengekalkan suhu badan pada 37 °C.

(a)(ii) Terangkan dua cara fizikal bagaimana badan bergerak balas untuk mengawal atur suhu badan selepas seseorang mandi dengan air sejuk.

(b) Pada pendapat anda, apakah kesan terhadap kadar pembuangan air kencing jika makanan yang dimakan mengandungi kuantiti protein yang banyak?

(c) Terangkan bagaimana kelenjar pituitari mengawal atur tekanan osmosis darah apabila seseorang minum terlalu sedikit air.


Jawapan:
(a)(i)
Suhu 37 °C merupakan suhu optimum bagi semua tindak balas kimia yang dimangkinkan oleh enzim. Sekiranya suhu badan meningkat, tindak balas metabolisme sel yang dikawal oleh enzim turut terganggu kerana enzim dinyahasli.

(a)(ii)
• Otot erektor dalam kulit mengecut lalu menaikkan bulu kulit. Satu lapisan udara yang bertindak sebagai penebat terperangkap di atas kulit.

• Apabila dirangsang, otot rangka mengecut dan mengendur dengan lebih banyak. Badan menggigil dan haba dijanakan.


(b)
• Protein dicernakan kepada asid amino.

• Asid amino berlebihan adalah toksik dan tidak boleh disimpan.

• Melalui proses pendeaminaan, bahagian bernitrogen asid amino ditukar kepada urea manakala bahagian tidak bernitrogen (rantai karbon) ditukar kepada glikogen atau lemak untuk disimpan.

• Urea merupakan hasil buangan bernitrogen yang perlu disingkirkan melalui air kencing.

• Oleh kerana kepekatan urea adalah tinggi bagi seseorang yang makan terlalu banyak makanan berprotein, urea memerlukan banyak air untuk disingkirkan dari badan.

• Oleh itu, anda akan membuang air kencing dengan lebih kerap.


(c)
• Apabila seseorang minum terlalu sedikit air, tekanan osmosis darah meningkat melebihi aras normal.

• Osmoreseptor dalam hipotalamus dirangsang. Impuls saraf dihantar ke kelenjar pituitari untuk merembes lebih banyak hormon antidiuresis (ADH) ke dalam darah.

• Kepekatan ADH yang tinggi meningkatkan ketelapan dinding tubul berlingkar distal dan dinding duktus pengumpul.

• Lebih banyak air diserap semula daripada hasil turasan ke dalam darah.

• Air kencing menjadi lebih pekat dan dikumuhkan dengan sedikit.

• Akibatnya, tekanan osmosis darah menurun dan kembali ke julat normal.

• Tekanan osmosis yang rendah mewujudkan mekanisme suap balik negatif yang mengurangkan aktiviti sel osmoreseptor di hipotalamus.

• Ini seterusnya menghentikan kelenjar pituitari daripada merembeskan lebih banyak ADH.

Soalan 12:
Terangkan bagaimana ikan air laut dapat hidup tanpa mengalami penyahhidratan.

Jawapan:
Ikan di air laut tidak mengalami penyahhidratan walaupun air laut adalah hipertonik terhadap bendalir dalam sel kerana terdapat proses kawal atur homeostasis. Melalui homeostasis, semua air diserap semula ke dalam darah. Air kencing yang disingkirkan adalah pekat dan sedikit. Ikan juga minum banyak air laut untuk menggantikan air yang hilang. Garam berlebihan juga disingkirkan melalui sel khas yang terdapat pada insang ikan, iaitu sel perembes klorida. Kesemua ini dapat mengekalkan tekanan osmosis darah ikan supaya tidak mengalami penyahhidratan.

Soalan 13:
Mengapakah ujian air kencing dijalankan untuk menentukan sama ada seseorang mengambil dadah atau tidak?

Jawapan:
Dadah dalam darah dirembes ke dalam tubul renal dan disingkirkan melalui air kencing. Dengan menguji kehadiran dadah dalam air kencing, kita dapat menentukan sama ada seseorang itu mengambil dadah atau tidak.

Soalan 14:
Teknologi moden telah banyak membantu pesakit yang menghadapi masalah ginjal. Misalnya, mesin hemodialisis telah membantu ramai pesakit yang mengalami kegagalan ginjal untuk terus hidup. Kini, penyelidikan sedang dijalankan untuk menghasilkan ginjal biotiruan. Alat ini dipercayai dapat menjalankan semua fungsi ginjal yang sihat. Pada pendapat anda, apakah sifat yang perlu ada pada ginjal biotiruan bagi membolehkannya berfungsi seperti ginjal sebenar?

Jawapan:
Dalam mengaplikasikan teknologi nano silikon bagi menghasilkan membran turasan yang telap memilih dan tahan lama, perkara berikut perlu diambil kira:

• Alat tersebut tidak memerlukan tiub yang dipasang.

• Alat tersebut haruslah kecil dan boleh dimasukkan ke dalam badan tanpa mengalami sebarang penolakan oleh sistem imun.

• Dapat menjalankan proses ultraturasan, menyingkirkan semua toksin serta menyerap semula semua bahan keperluan badan.

Leave a Comment