Praktis Sumatif 12 (Soalan 9 & 10) – Biologi Tingkatan 4 (KSSM) Bab 12


Soalan 9:
Bagaimanakah otak membuat keputusan menentukan berapa banyak tenaga yang diperlukan untuk mengangkat sehelai kertas berbanding dengan sebuah buku?


Jawapan:
Otak membuat keputusan berdasarkan pengalaman yang lepas. Otak mengetahui bahawa sebuah buku adalah lebih berat daripada sehelai kertas. Oleh itu, otak akan merangsang bilangan gentian otot yang sepadan dengan tenaga yang diperlukan. Sesetengah neuron motor boleh merangsang banyak gentian otot manakala sesetengah neuron motor hanya boleh merangsang beberapa gentian otot. Neuron motor yang merangsang bilangan gentian otot yang banyak akan menghasilkan lebih banyak daya angkat berbanding dengan neuron motor yang merangsang pengecutan beberapa gentian otot sahaja. Oleh itu, untuk mengangkat sebuah buku, otak akan merangsang neuron motor yang merangsang banyak gentian otot.

Soalan 10:
Jelaskan mengapa kita perlu memahami dan menunjukkan tahap kesabaran yang tinggi apabila menjaga seorang pesakit Alzheimer atau pesakit Parkinson.


Jawapan:
Seorang pesakit Alzheimer atau Parkinson mengalami kemerosotan neuron dalam otak yang menjejaskan fungsi mentalnya. Kehilangan keupayaan pelbagai fungsi mental termasuk ingatan, pergerakan dan perubahan emosi menyebabkan pesakit tersebut amat bergantung pada penjagaan rapi dan sepenuh masa oleh penjaga. Oleh itu, penjaga perlulah memahami keadaan dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi untuk menjaga mereka.

Leave a Comment