Praktis Sumatif 13 (Soalan 8 – 10) – Biologi Tingkatan 4 (KSSM) Bab 13


Soalan 8:
Huraikan bagaimana suhu badan seorang pekerja di dalam sebuah bilik sejuk selama 6 jam dikawal atur.

Jawapan:
• Apabila berada dalam bilik sejuk selama 6 jam, suhu badan akan turun.

• Termoreseptor pada kulit menerima rangsangan dan menghantar impuls saraf ke pusat kawalan suhu di hipotalamus otak melalui saraf aferen.

• Mekanisme suap balik negatif berlaku iaitu:
• Pemvasocerutan berlaku. Ini mengurangkan pengaliran darah ke permukaan kulit dan seterusnya, kurang haba mengalir ke persekitaran.

• Kelenjar peluh tidak dirangsang. Oleh itu, perpeluhan tidak berlaku.

• Otot erektor mengecut menyebabkan bulu roma menegak. Lapisan udara tebal terperangkap di permukaan kulit dan bertindak sebagai penebat haba yang menghalang kehilangan haba melalui kulit.

• Badan menggigil. Otot rangka yang mengecut dan mengendur menjanakan haba dan meningkatkan suhu badan.

• Kelenjar tiroid dirangsang untuk merembes tiroksina dan kelenjar adrenal dirangsang untuk merembes adrenalina. Tiroksina meningkatkan kadar metabolime sel dan adrenalina meningkatkan penukaran glikogen menjadi glukosa. Glukosa dioksidakan untuk menghasilkan tenaga haba.

Soalan 9:
Pernafasan ialah proses luar kawal yang dikawal oleh pusat kawalan respirasi di dalam medula oblongata. Jelaskan apa yang berlaku kepada kadar pernafasan seorang pendaki apabila berada di puncak gunung yang tinggi.

Jawapan:
• Terdapat kurang oksigen dalam atmosfera.

• Tekanan separa oksigen adalah rendah.

• Terdapat kurang oksigen dalam darah.

• Ini dikesan oleh kemoreseptor periferi. Impuls saraf dijana dan dihantar ke pusat kawalan respirasi dan pusat kawalan kardiovaskular yang kemudiannya menghantar impuls ke otot interkosta, diafragma dan otot kardium jantung. Kadar pengecutan dan pengenduran otot interkosta dan diafragma meningkat yang seterusnya meningkatkan kadar pernafasan (tarik nafas /hembus nafas). Kadar denyutan jantung meningkat.

• Lebih oksigen dihantar ke sel dan lebih karbon dioksida diangkut ke peparu.

Soalan 10:
Huraikan peranan otot erektor, bulu roma dan kelenjar peluh dalam mengekalkan suhu badan pada hari panas.

Jawapan:
• Otot regang mengendur dan menyebabkan bulu roma condong ke permukaan kulit

• Bulu roma memerangkap lapisan udara yang nipis yang membolehkan lebih banyak haba dapat hilang ke persekitaran.

• Kelenjar peluh merembes peluh. Apabila peluh tersejat, haba hilang ke persekitaran.

Leave a Comment