Praktis Sumatif 1 (Soalan 4) – Biologi Tingkatan 5 (KSSM) Bab 1


Soalan 4:
(a) Rajah 5 menunjukkan keratan rentas sebatang pokok yang terdapat di negara beriklim sederhana. Gelang tahunan terbentuk daripada gabungan gelang gelap dan gelang cerah.


Anggarkan usia pokok tersebut. Terangkan pembentukan gelang tahunannya.


(b)(i) Berdasarkan pernyataan di bawah, apakah kebaikan tumbuhan yang mengalami pertumbuhan sekunder? Bincangkan kepentingan pertumbuhan sekunder.

Tumbuhan eudikot seperti pokok manggis mengalami pertumbuhan primer bagi meningkatkan ketinggian. Kemudian, diikuti dengan pertumbuhan sekunder bagi pertambahan diameter batang serta akar. Tumbuhan monokot seperti lalang pula hanya mengalami pertumbuhan primer.
(b)(ii) Mengapakah sebahagian kecil sahaja tumbuhan monokot mengalami pertumbuhan sekunder? Jelaskan.


Jawapan:
(a)
Anggaran usia 9 tahun.
Aktiviti kambium dipengaruhi oleh musim. Pada musim sejuk atau musim luruh, keamatan cahaya rendah. Oleh itu, kambium vaskular berada dalam keadaan dorman atau tidak aktif menyebabkan xilem atau floem sekunder lebih kecil (berdinding tebal dan bergelang gelap).

Pada musim bunga atau panas, kambium vaskular aktif menyebabkan xilem atau floem sekunder lebih besar (berdinding nipis dan bergelang cerah).


(b)(i)
• Pertumbuhan sekunder memberikan kestabilan kepada tumbuhan dengan menambah diameter batang dan akar agar bersesuaian dengan ketinggian tumbuhan

• Pertumbuhan sekunder memberikan sokongan mekanikel kepada tumbuhan

• Pertumbuhan sekunder enghasilkan lebih banyak tisu xilem dan tisu floem

• Pertumbuhan sekunder menghasilkan tisu xilem dan floem secara berterusan bagi menggantikan tisu xilem dan floem yang tua dan rosak

• Pertumbuhan sekunder menghasilkan kulit kayu yang kuat dan tebal yang memberikan perlindungan kepada pokok terhadap kehilangan air yang berlebihan, kecederaan fizikal dan serangan patogen

• Pertumbuhan sekunder menyebabkan mampu hidup lebih lama dengan meningkatkan peluang menghasilkan biji benih dan membiak


(b)(ii)
Secara umumnya, pertumbuhan sekunder tidak berlaku pada tumbuhan monokot kerana ketiadaan tisu kambium. Tisu asas bagi batang tumbuhan monokot tidak mengalami pembezaan membentuk korteks dan empulur. Berkas vaskular tersebar di dalam batang.

Draceana sp. dan Aloe sp. merupakan tumbuhan monokotiledon yang menunjukkan pertumbuhan sekunder.

Leave a Comment