Praktis Sumatif 1 (Soalan 4 & 5) – Biologi Tingkatan 4 (KSSM) Bab 1


Soalan 4:
Huraikan peringkat-peringkat yang terlibat dalam penyiasatan saintifik.

Jawapan:
Peringkat penyiasatan saintifik:
• Mengenal pasti masalah – Menentukan persoalan yang hendak dikaji.

• Membuat hipotesis – Menyatakan suatu pendapat yang kebenarannya akan diuji melalui eksperimen.

• Merancang penyiasatan – Pengumpulan maklumat atau latar belakang saintifik mengenai eksperimen, persiapan dan pemilihan bahan, radas serta penggunaan kaedah yang betul.


• Mengawal pemboleh ubah – menentukan pemboleh ubah yang dimalarkan, pemboleh ubah yang dimanipulasikan dan pemboleh ubah yang bergerak balas.

• Menjalankan penyiasatan – penggunaan alat, radas dan bahan dengan cara yang betul, pemerhatian dibuat dengan teliti, pembersihan dan penyimpanan alat dan radas selepas eksperimen serta pelupusan bahan sisa dengan cara yang betul.


• Mengumpul data – Data atau pemerhatian dikumpul dan direkod dengan cekap, bersistematik dalam pelbagai kaedah.

• Menganalisis data – Data ditukar kepada bentuk yang lebih bermakna, misalnya graf.

• Hubungan antara pemboleh ubah bergerak balas dan pemboleh ubah yang dimanipulasikan ditentukan.


• Mentafsir data – Data ditafsir secara logik dan objektif. Maklumat yang diperoleh kemudian dihuraikan dengan jelas kepada bahagian kecil untuk mencari hubungan atau perkaitan antara bahagian-bahagian dalam maklumat atau data itu.

• Membuat kesimpulan – Hipotesis diterima atau ditolak dan satu kesimpulan dibuat bagi eksperimen yang dijalankan.

• Membuat laporan – Laporan ditulis berdasarkan pada langkah-langkah dalam kaedah saintifik.

Soalan 5:
(a) Satu eksperimen telah dijalankan untuk menunjukkan hidrolisis kanji oleh enzim amilase. Radas eksperimen disediakan seperti dalam Rajah 1. Selepas 1 jam, sampel daripada setiap tabung uji diuji menggunakan ujian iodin.



(i) Kenal pasti pernyataan masalah untuk eksperimen ini.
(ii) Nyatakan hipotesis yang sesuai untuk eksperimen ini.
(iii) Kenal pasti pemboleh ubah dimanipulasikan, pemboleh ubah bergerak balas dan pemboleh ubah dimalarkan.

(b) Seorang murid telah menumpahkan asid hidroklorik semasa menjalankan eksperimen.
Apakah tindakan yang seharusnya diambil oleh murid tersebut?


Jawapan:
(a)(i)
Bagaimanakah kehadiran enzim amilase mempengaruhi hidrolisis kanji?

(a)(ii)
Kanji dapat dihidrolisis dengan kehadiran enzim amilase berbanding tanpa kehadiran enzim amilase.

(a)(iii)
Pemboleh ubah dimanipulasikan: Kehadiran enzim amilase

Pemboleh ubah bergerak balas: hidrolisis kanji

Pemboleh ubah dimalarkan: masa dan suhu

(b) Murid tersebut mestilah memaklumkan kepada guru/pembantu makmal secepat mungkin dan jadikan tempat tumpahan kawasan larangan (yakni melarang rakan-rakan daripada pergi ke tempat tersebut).

Leave a Comment