Praktis Sumatif 8 (Soalan 10 & 11) – Biologi Tingkatan 4 (KSSM) Bab 8


Soalan 10:
Pencemaran udara menyukarkan pernafasan dalam haiwan dan manusia. Sekiranya anda seorang ahli sains, haiwan manakah yang akan anda pilih sebagai petunjuk tahap pencemaran udara di sesuatu kawasan? Nyatakan justikasi pilihan anda.

Jawapan:
Katak adalah paling sesuai digunakan sebagai haiwan penunjuk tahap pencemaran udara. Walaupun katak mempunyai sepasang peparu, organ pernafasan utama ialah permukaan kulitnya. Tidak seperti peparu, udara yang diresap melalui kulit tidak dapat ditapis. Oleh demikian, pencemaran udara akan menyebabkan permukaan kulit katak disekat oleh zarah-zarah kecil. Kulit yang tersekat mengurangkan kecekapan pertukaran gas dan ini boleh menyebabkan katak mati. Oleh itu, katak adalah lebih peka terhadap pencemaran udara berbanding haiwan vertebra yang lain.

Soalan 11:
Semua mamalia bernafas melalui peparu, begitu juga dengan mamalia yang hidup di dalam laut seperti ikan paus. Bagaimanakah ikan paus bernafas semasa berada di dalam air?

Jawapan:
Ikan paus dapat menyimpan kepekatan oksigen yang sangat tinggi di dalam darah dan otot. Ikan paus menyedut nafas di atas permukaan laut dan menahan nafas semasa menyelam. Selain menyimpan kepekatan oksigen yang tinggi dalam darah dan otot, metabolisme badan dan denyutan jantung dikurangkan semasa ikan paus menyelam. Arteri ikan paus pada bahagian badan tertentu juga mengalami pencerutan untuk mengurangkan peredaran darah ke bahagian badan tersebut bagi menjimatkan penggunaan oksigen. Oksigen yang dijimatkan disalurkan ke bahagian badan yang penting seperti jantung, organ deria dan otak. Dengan cara ini, seekor ikan paus dapat menahan nafas selama kira-kira 50 minit sebelum naik ke permukaan laut untuk bernafas. 

Leave a Comment