Praktis Sumatif 5 (Soalan 5 – 8) – Biologi Tingkatan 4 (KSSM) Bab 5


Soalan 5:
(a) Sekiranya anda merupakan seorang pengusaha makanan, cadangkan satu enzim yang boleh anda gunakan dalam pemprosesan daging dan ikan. Nyatakan fungsi enzim ini.

(b) Bincangkan bagaimana sifat enzim mempengaruhi tindakannya.


Jawapan:
(a) Enzim yang boleh digunakan dalam pemprosesan daging ialah protease. Protease membantu melembutkan daging. Enzim yang boleh digunakan dalam pemprosesan ikan ialah protease. Protease dapat mengasingkan isi ikan daripada kulit ikan.


(b)
• Enzim ialah mangkin organik yang mempercepatkan kadar tindak balas kimia dalam organisma hidup.

• Sifat-sifat enzim yang mempengaruhi tindakannya:


(i) Enzim sangat peka terhadap suhu. Setiap enzim berfungsi dengan optimum dalam suatu julat suhu nilai tertentu. Suhu terlampau tinggi menyahaslikan struktur protein enzim manakala pada suhu rendah, enzim menjadi kurang aktif.


(ii) Enzim peka terhadap perubahan pH. Setiap enzim berfungsi dengan optimum dalam suatu julat nilai pH yang tertentu. Sekiranya nilai pH berada di luar julat pH optimum, enzim akan menjadi tidak aktif. Misalnya, enzim pepsin bertindak dalam julat pH 1.5 hingga pH 2.

(iii) Enzim adalah spesifik. Hanya molekul substrat yang saling berpelengkap dengan molekul enzim dapat bergabung untuk tindak balas berlaku.

Soalan 6:
Enzim yang hadir dalam strain bakteria yang hidup di kawasan mata air panas boleh diekstrak untuk ditambahkan ke dalam serbuk pencuci pakaian. Cadangkan mengapa enzim daripada bakteria ini sesuai digunakan sebagai serbuk pencuci pakaian.

Jawapan:
Mesin basuh pakaian mempunyai fungsi kawalan suhu yang tertentu. Suhu yang tinggi akan menyebabkan enzim dalam serbuk pencuci ternyahasli. Oleh itu, sekiranya enzim diekstrak daripada sumber bakteria yang hidup di kawasan mata air panas, enzim daripada bakteria ini mampu bertahan pada suhu yang tinggi tanpa ternyahasli.

Soalan 7:
Mengapakah keracunan sianida menyebabkan kematian serta-merta?

Jawapan:
Sianida boleh bergabung dengan salah satu enzim respirasi sel. Sianida menyebabkan proses pengoksidaan glukosa terencat dan sel berhenti berespirasi. Tanpa respirasi sel, seseorang itu akan mati.

Soalan 8:
Buah-buahan segar boleh diproses untuk menghasilkan jus. Buah-buahan dihancurkan dan diperah sebelum jusnya dapat diekstrak. Sel tumbuhan mempunyai dinding selulosa yang kuat. Akan tetapi, sekiranya enzim yang mengandungi enzim pektinase digunakan, banyak jus dapat diekstrakkan. Berdasarkan pengetahuan ini, cadangkan satu eksperimen makmal bagi memperoleh lebih banyak jus buah berbanding dengan kaedah pemerahan


Jawapan:
Eksperimen:
• Beberapa biji buah epal dikisar sehingga hancur.

• Kuantiti epal yang didapati dibahagikan dengan sama rata dalam dua bikar yang berlainan, iaitu bikar A dan bikar B.


• Buah epal yang sudah dihancurkan dibiarkan selama 30 minit pada suhu bilik bagi membolehkan perencat enzim yang wujud secara semula jadi dalam buah epal dioksidakan kepada bentuk tidak aktif.

• 2 ml air suling ditambah ke dalam bikar A manakala 2 ml larutan enzim pektinase (iaitu larutan enzim yang mengandungi selulase dan hemiselulase) ditambah ke dalam bikar B. (Pektinase dicairkan sehingga kepekatan 50% dengan air suling sebelum dicampurkan ke dalam bikar A.)


• Kedua-dua bikar direndam selama 30 minit dalam air pada suhu 30 °C.

• Kemudian larutan daripada kedua-dua bikar dituras ke dalam dua silinder penyukat yang berlainan.

• Didapati bahawa jus epal yang diperoleh daripada bikar B adalah 20% lebih banyak daripada bikar A

Leave a Comment