Praktis Sumatif 15 (Soalan 11 – 13) – Biologi Tingkatan 4 (KSSM) Bab 15


Soalan 11:
Semasa ejakulasi, sebanyak kira-kira 300 juta sperma dikeluarkan. Daripada jumlah ini, hanya lebih kurang 300 sperma yang sampai kepada oosit sekunder dan akhirnya, hanya satu sperma berjaya mensenyawakan ovum. Sekiranya hanya satu sperma yang berjaya sampai kepada oosit sekunder, persenyawaan oleh sperma ini tidak akan berlaku. Jelaskan mengapa.


Jawapan:
Untuk mensenyawakan ovum, lapisan pelindung yang terdapat di luar ovum perlu diuraikan terlebih dahulu oleh enzim yang terdapat dalam akrosom sperma. Oleh itu, satu sperma sahaja tidak mengandungi enzim yang mencukupi untuk menguraikan lapisan pelindung ini. Kehadiran banyak sperma dapat membekalkan kuantiti enzim yang mencukupi untuk menguraikan lapisan pelindung bagi membolehkan satu sperma mensenyawakan ovum.

Soalan 12:
Huraikan bagaimana perubahan aras hormon yang berlainan dalam satu kitar haid dapat menyediakan seorang perempuan untuk kehamilan.


Jawapan:
Bagi seseorang yang mempunyai kitar haid selama 28 hari, berikut ialah perubahan aras hormon berlainan yang dapat menyediakan seseorang perempuan untuk kehamilan.

• Dari hari 0 hingga hari ke-7, sebaik sahaja selepas haid, kelenjar putuitari mula merembeskan hormon perangsang folikel (FSH).

• FSH menyebabkan salah satu atau lebih folikel Graaf berkembang di dalam ovari.

• FSH merangsang sel folikel untuk merembeskan hormon estrogen.


• Dari hari ke-8 hingga hari ke-14, kepekatan estrogen bertambah dan mencapai takat maksimum pada hari ke-12.

• Estrogen bertindak untuk memulih dan memperbaiki tisu endometrium.

• Estrogen juga merangsang kelenjar pituitari merembeskan hormon peluteinan (LH).

• LH merangsang ovulasi pada hari ke-14.

• Dari hari ke-15 hingga hari ke-21, folikel Graaf yang berkembang menjadi korpus luteum akan dirangsang oleh LH untuk merembeskan hormon progesteron.


• Aras progesteron yang semakin meningkat merangsang tisu endometrum menjadi lebih mengembang, tebal dan bervaskular.

• Ini adalah sebagai persediaan untuk menerima ovum yang telah disenyawakan sekiranya persenyawaan berlaku.

• Dari hari ke-22 hingga hari ke-28, jika persenyawaan berlaku, aras progesteron terus meningkat untuk memastikan perkembangan uterus yang selanjutnya.

• Progesteron merencat pengeluaran FSH dan LH, oleh itu kitar haid dan ovulasi tidak berlaku semasa seseorang itu hamil. Ini menghalang folikel dalam ovari daripada berkembang semasa kehamilan.

Soalan 13:
Tali pusat ialah talian hayat antara ibu dan anak. Darah tali pusat ialah darah yang tertinggal di dalam tali pusat dan plasenta selepas kelahiran. Selepas bayi dilahirkan, darah tali pusat boleh disimpan kerana merupakan sumber sel stem yang kaya dengan sel stem hematopoietik. Wajarkah ibu bapa berbuat demikian demi masa depan anak mereka?


Jawapan:
Sel stem darah tali pusat berpotensi untuk dijadikan pelbagai jenis sel yang berbeza. Oleh itu, sel stem darah tali pusat boleh digunakan untuk merawat pelbagai penyakit yang mengancam nyawa
seperti penyakit jantung dan strok. Bank sel stem merupakan salah satu cara untuk menyimpan darah tali pusat bayi supaya seseorang boleh mendapatkan sel stem sendiri untuk terapi selular pada masa akan datang.

Leave a Comment