Praktis Sumatif 10 (Soalan 3 & 4) – Biologi Tingkatan 5 (KSSM) Bab 10


Soalan 3:
Harimau Malaya merupakan haiwan yang diancam kepupusan. Pada ketika ini, terdapat kurang daripada 200 ekor harimau Malaya di seluruh Malaysia. Haiwan ini menjadi buruan pemburu haram untuk dijual di pasaran antarabangsa.

(a) Nyatakan ciri-ciri fizikal Harimau Malaya.

(b) Bagaimanakah kepupusan Harimau Malaya mempengaruhi keseimbangan ekosistem? Jelaskan.

(c) Selain pemburuan haram, ramalkan faktor lain yang menyebabkan kepupusan Harimau Malaya.

(d) Apakah langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan yang boleh dilakukan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi mengatasi masalah kepupusan Harimau Malaya?


Jawapan:
(a)
Ciri-ciri fizikal Harimau Malaya: Mempunyai bulu kemerahan atau perang berkarat, dan belang kelabu, perang atau hitam di badan

(b)
Kepupusan Harimau Malaya menyebabkan keseimbangan dinamik sesebuah ekosistem terancam. Harimau merupakan pemangsa, ketiadaannya menyebabkan rantai makanan terjejas. Populasi pemangsa lain yang berlebihan akan menyebabkan kepupusan haiwan kecil.


(c)
Faktor yang menyebabkan kepupusan Harimau Malaya:

• Penebangan hutan secara berleluasa untuk pembangunan dan pertanian menyebabkan kemusnahan habitat semula jadi Harimau Malaya.

• Kekurangan sumber makanan disebabkan pemburuan berleluasa terhadap sumber makanan Harimau Malaya.


(d)
Langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan Harimau Malaya:

• Menguatkuasakan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

• Mewartakan hutan simpan untuk pengekalan habitat harimau.

• Menyediakan tempat kemudahan pembiakan harimau di dalam kurungan, seperti zoo bagi meningkatkan populasi harimau.

Soalan 4:
Amalan 5S, iaitu sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal, merupakan satu amalan budaya daripada masyarakat Jepun, dengan tujuan mewujudkan suatu suasana kualiti di sesebuah organisasi. Sebagai seorang majikan di sebuah organisasi, adakah anda menyokong amalan ini? Berikan alasan anda.


Jawapan:
Ya, saya sokong.

• Amalan sisih dapat mengasingkan dan menentukan barangan yang diperlukan dan tidak diperlukan. Barangan yang tidak diperlukan akan dilupuskan. Amalan ini akan memastikan tempat kerja lebih kemas dan selamat.

• Amalan susun yang dilakukan adalah dengan melabel, menyusun dan menyimpan barangan atau dokumen dengan kemas, mudah diambil dan disimpan semula di tempatnya. Operasi kerja menjadi sistematik dan teratur.


• Amalan sapu, mencuci dan membersihkan tempat kerja dengan rapi supaya tiada habuk, kotoran di persekitaran tempat kerja. Amalan ini dapat memastikan tempat kerja yang selamat dan bersih.

• Amalan seragam memastikan tempat kerja sentiasa teratur sepanjang masa agar operasi kerja menjadi lebih cekap.

• Amalan melatih pekerja mengamalkan sistem ini secara berterusan supaya menjadi tabiat dan budaya yang berkualiti dalam organisasi.

• Amalan ini salah satu strategi pembangunan mampan.

Leave a Comment