Praktis Sumatif 10 (Soalan 6 & 7) – Biologi Tingkatan 4 (KSSM) Bab 10


Soalan 6:
Rajah 1(a) menunjukkan skema sistem peredaran darah dalam manusia dan Rajah 1(b) menunjukkan skema sistem peredaran darah dalam ikan.



(a) Terangkan sistem peredaran darah ikan.

(b) Berdasarkan Rajah 1, bandingkan antara sistem peredaran darah manusia dan ikan.

(c) Terangkan persamaan antara kedua-dua sistem peredaran darah.

(d) Mengapakah pengaliran darah ikan menghadapi lebih banyak rintangan berbanding dengan pengaliran darah dalam manusia dan jelaskan bagaimana ikan mengatasi masalah ini?


Jawapan:
(a)
• Darah terdeoksigen yang dipam dari ventrikel akan memasuki kapilari insang.
• Di kapilari insang, pertukaran gas akan berlaku.
• Dari insang, darah beroksigen akan mengalir ke semua bahagian badan yang lain melalui kapilari sistemik.
• Darah terdeoksigen yang diangkut dalam vena kemudian akan diedarkan kembali ke atrium jantung.

(b)
Sistem peredaran manusia terdiri daripada sistem peredaran ganda dua, manakala sistem peredaran ikan terdiri daripada sistem peredaran tunggal. Jantung manusia terdiri daripada empat ruang manakala jantung ikan terdiri daripada dua ruang.

(c)
Kedua-duanya mempunyai sistem peredaran tertutup kerana darah terkandung dalam salur darah semasa diedarkan ke seluruh badan.


(d)
Pengaliran darah ikan menghadapi lebih banyak rintangan berbanding dengan pengaliran darah dalam manusia kerana darah perlu melalui dua sistem kapilari iaitu kapilari insang dan kapilari sistemik sebelum kembali ke jantung. Pengaliran darah melalui kapilari mengenakan rintangan terhadap aliran darah. Tekanan hidrostatik darah ke atas dinding kapilari berkurangan. Ini bermaksud darah beroksigen yang meninggalkan kapilari insang ke bahagian badan lain mengalir dengan perlahan. Bagi manusia, darah mengalir dalam salur darah yang besar iaitu arteri dan vena sebelum bercabang kepada arteriol dan venul dan berakhir dengan kapilari. Pengurangan tekanan darah adalah secara tidak mendadak dan pengaliran darah menghadapi rintangan yang kurang.

Ikan mengatasi masalah ini dengan adanya sinus venosus, iaitu rongga besar yang menggantikan vena. Sinus ini yang bersaiz lebih besar daripada vena memberi rintangan yang kurang terhadap pengaliran darah.

Soalan 7:
Penyakit jantung koronari merupakan penyebab utama kematian dalam negara kita. Berikut adalah faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang menghidap penyakit itu:
• merokok
• gizi yang tidak seimbang
• gaya hidup yang tidak sihat
Terangkan bagaimana faktor-faktor tersebut menyumbang terhadap penyakit jantung koronari.


Jawapan:
Merokok
• Asap rokok mengandungi nikotina.

• Nikotina menyebabkan ketagihan.

• Nikotina mengecutkan salur darah.

• Nikotina meningkatkan tekanan darah.

• Menyebabkan pengumpulan plak.

• Menyebabkan trombosis / arteriosklerosis.

• Asap rokok mengandungi karbon monoksida.


• Karbon monoksida bersaing dengan oksigen untuk bergabung dengan hemoglobin membentuk karboksihemoglobin.

• Menjejaskan kecekapan pengangkutan oksigen.

• Menyebabkan kesukaran bernafas dan serangan jantung

• Asap rokok mengandungi tar yang membentuk satu lapisan pada dinding alveolus yang mengurangkan pertukaran gas.


Gizi tidak seimbang
• Pengambilan lemak/ lipid / karbohidrat yang tinggi

• Kolesterol dan lemak terkumpul dan mengenap di dalam lumen salur darah.

• Lumen arteri koronari menjadi kecil dan sempit.

• Ini menyebabkan ateroklerosis, strok atau trombosis.

Gaya hidup yang tidak sihat
• Kurang senaman fizikal dan gaya hidup yang kurang pergerakan.

• Menyebabkan kegendutan dan obesiti, stres, tekanan darah tinggi dan serangan jantung

Leave a Comment