Aktiviti 1.1 – Biologi Tingkatan 5 (KSSM) Bab 1


Aktiviti 1.1:
Tujuan
Menyediakan slaid mikroskop zon pembahagian sel, zon pemanjangan sel dan zon pembezaan sel

Bahan: Kacang hijau, pewarna aseto-orsein, asid asetik, air suling, etanol

Radas: Pisau, slaid kaca, penutup kaca, mikroskop cahaya, penitis, jarum tenggek


Prosedur
1. Rendam kacang hijau semalaman. Pindahkan biji benih kacang hijau ke dalam bekas berisi kapas. Biarkan selama tiga hingga lima hari bagi membenarkan pertumbuhan radikel dan seterusnya berkembang menjadi akar.

2. Potong hujung akar sepanjang 10 mm. Kemudian, rendam akar itu ke dalam larutan campuran 25% asid asetik dan 75% etanol selama 30 saat. Larutan ini dapat mematikan sel-sel akar tetapi masih mengekalkan strukturnya.

3. Dengan menggunakan pisau, dapatkan keratan membujur akar.

4. Basuh keratan membujur akar menggunakan air suling.

5. Letak keratan tersebut ke atas titisan air suling pada slaid kaca dan tutup menggunakan penutup kaca.

6. Jalankan teknik pewarnaan dengan menggunakan larutan pewarna aseto-orsein selama 30 saat hingga 1 minit untuk mewarnakan kromosom.

7. Perhatikan slaid menerusi mikroskop dimulai dengan kanta objektif kuasa rendah dan diikuti dengan kanta objektif kuasa tinggi.

8. Lukis dan labelkan zon pembahagian sel, zon pemanjangan sel serta zon pembezaan sel yang diperhatikan. Catatkan kuasa pembesaran yang telah digunakan.


Perbincangan
1. Apakah zon yang dapat diperhatikan pada hujung radikel anak benih?

2. Terangkan bentuk dan struktur sel-sel yang dapat diperhatikan di antara zon-zon pada hujung radikel anak benih.


Jawapan:
1. Zon pembahagian sel, zon pembezaan sel dan zon pemanjangan sel.

2. Zon pembahagian sel mempunyai sel-sel bersaiz kecil dengan sitoplasma yang padat, nukleus yang besar dan vakuol yang kecil. Zon pemanjangan sel mempunyai sel-sel panjang dan lebar dengan vakuol yang besar. Zon pembezaan sel terdiri daripada sel-sel dengan bentuk dan struktur yang pelbagai bergantung kepada fungsinya.

Leave a Comment