Praktis Sumatif 8 (Soalan 6 & 7) – Biologi Tingkatan 4 (KSSM) Bab 8


Soalan 6:
Salah satu kesan penyakit emfisema ialah kehilangan kekenyalan alveolus. Terangkan kesan ini terhadap pertukaran gas.

Jawapan:
Kurang udara disedut dan dihembus keluar, jadi pernafasan adalah sukar. Udara terperangkap di dalam alveolus dan boleh menyebabkan alveolus meletus dan mewujudkan ruang udara yang besar dalam alveolus. Ini bermaksud kurang jumlah luas permukaan untuk pertukaran gas.

Soalan 7:
(a) Namakan struktur P dan Q yang masing–masing membantu manusia dan ikan menjalankan pertukaran gas.


(b) Terangkan mekanisme pernafasan ikan.

(c) Huraikan dua persamaan ciri struktur P dan Q yang disesuaikan untuk membantu P dan Q berfungsi dengan berkesan.

(d) Berikan dua sebab mengapa kadar pembekalan oksigen ke sel badan manusia adalah lebih cepat daripada kadar pembekalan oksigen ke sel badan ikan sekiranya kedua-duanya mempunyai saiz yang sama.


Jawapan:
(a)
P: alveolus/peparu,
Q: insang

(b)
• Apabila mulut dibuka, bahagian dasar rongga mulut diturunkan. Pada masa yang sama, ruang operkulum dibesarkan dan bukaan operkulum ditutup. Ini mengurangkan tekanan di dalam rongga mulut. Air yang mengandungi oksigen terlarut dari luar akan memasuki mulut.

• Apabila mulut ditutup, bahagian dasar rongga mulut dinaikkan. Air akan mengalir melalui lamela insang dan pertukaran gas antara darah dengan air berlaku secara resapan. Pada masa yang sama, otot operkulum mengendur dan ruang operkulum dikecilkan. Isi padu rongga mulut dikurangkan dan tekanan di dalam rongga mulut menjadi lebih tinggi daripada tekanan di luar. Tekanan yang tinggi menyebabkan air mengalir keluar melalui bukaan operkulum yang terbuka.


(c)
Permukaan P dan Q sentiasa lembap kerana diselaputi lapisan cecair yang membantu gas respirasi terlarut di dalamnya. Bilangan struktur respirasi yang banyak memberikan nisbah jumlah luas permukaan kepada isi padu yang besar untuk pertukaran gas respirasi.


(d)
Kadar pembekalan oksigen ke sel badan manusia lebih cepat kerana manusia mempunyai struktur diafragma dan otot interkosta yang membantu dalam mekanisme pernafasan. Ini tidak terdapat pada ikan. Di samping itu, manusia juga mempunyai jantung yang lebih berotot yang berupaya mengepam darah beroksigen dengan cepat ke seluruh badan.

Leave a Comment